Seorang
anak kebiasaan akan lebih menghargai ibu bapanya setelah dia memiliki
cahaya mata yang pertama. Betapa rumitnya membesarkan bayi yang baru
dilahirkan hinggalah usia meningkat dari tahun ke tahun dipenuhi dengan
pelbagai cabaran.Saat itulah, baru menceritakan semula penat lelah ibu dan bapa yang
membesarkannya suatu ketika dahulu. Selain, kepayahan ketika mengandung
hinggalah tiba waktu melahirkan.
Pengorbanan ibu bapa sebenarnya telah ditegaskan oleh Allah Taala
dalam firman-Nya yang bermaksud:
"Dan kami
wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, ibunya telah
mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal
mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah
dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan
kepada kedua ibu bapa mu dan (ingatlah) kepada Akulah jua tempat kembali
(untuk menerima balasan)." (Surah Luqman ayat: 14)
Maka, soal kebaktian seorang anak terhadap ibu bapanya perlu diutamakan
dan diletakkan sebagai tugas yang penting untuk dilaksanakan.
Menjelang hari tua, ibu dan bapa kita akan lebih mendalam kerinduan
terhadap anak yang pernah dibesarkannya.
Tahap sensitifnya akan cepat terasa sekiranya anak yang dijaga
bersikap kurang menyenangkan, atau melakukan perbuatan yang mengguriskan
hati. Kita sebagai anak harus sedar akan kewajipan mentaati dan
membahagiakan hati kedua ibu bapa. Firman Allah Taala yang bermaksud:
"Dan Tuhanmu
telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadanya
semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika
salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur
tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada
mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "ah" dan janganlah
engkau menengking, menyergah mereka tetapi katakanlah kepada mereka
perkataan yang mulia (yang bersopan santun)." (Surah
al-Isra' ayat: 23)
Maksud "berbuat baik kepada kedua ibu bapa" sebagai
mana yang disebutkan dalam ayat suci al-Quran selain dari menjaga
tingkah laku, perkataan dan perbuatan dari sebarang kekasaran yang boleh
melukai hati keduanya, kita dituntut untuk menjaga ibu bapa setelah
mereka berada di usia yang tua.
Menjelang saat-saat hari tua adalah penantian kehidupan yang
menggusarkan fikiran. Pasti semua ibu bapa akan kerisauan mengingatkan
tentang kehidupan hari tua kelak. Dalam Islam, anak lelaki yang
paling berkewajipan menjaga ibu bapanya berbanding dengan anak
perempuan. Seorang ibu boleh membesarkan anaknya yang ramai, sebaliknya
anak-anak yang ramai belum pasti dapat memelihara kedua ibu bapanya.
Maka, antara jalan untuk tergolong sebagai orang-orang yang
beriman ialah keutamaan melihat ibu bapa sebagai tanggungjawab
yang besar yang perlu dilaksanakan. Kegagalan berbakti kepada ibu bapa
boleh mengakibatkan kita sukar untuk sampai ke pintu syurga sebagaimana
hadis daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
"Amat malanglah!
Amat malanglah! Dan amat malanglah. Maka Rasulullah ditanya: Siapakah
orang yang amat malang itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Seseorang
yang mendapati kedua ibu bapanya atau salah seorang daripada keduanya
telah tua namun dia masih gagal memasuki syurga (lantaran gagal
berkhidmat kepada mereka)." (Riawayat Muslim)
Menyentuh tentang jasa ibu bapa terhadap anaknya terlalu banyak.
Sudah pasti, para ibu dan bapa akan menitiskan air mata jikalau ditanya
tentang pengorbanan untuk membesarkan anak apatah lagi bagi golongan
yang hidup dalam kemiskinan dan serba kekurangan dengan seratus peratus
menggunakan kudrat sendiri untuk membela dan membesarkan anak-anaknya.
Ada sedikit perbezaan berbanding para ibu hari ini yang banyak
bergantung kepada pembantu rumah serta penggunaan alat teknologi yang
membantu meringankan beban atau tugas seorang ibu.
Imam Bukhari telah meriwayatkan sebuah kisah daripada Said bin Abi
Burdah tentang seorang lelaki Yaman yang bertawaf sambil mendukung
ibunya dengan penuh cermat. Sebaik selesai tawaf, beliau bertanya kepada
Ibnu Umar: Apakah dengan khidmat dan pengorbananku ini telah dapat
membalas jasa bakti ibuku? Jawab Ibnu Umar: Tidak, apa yang
telah kamu lakukan tadi tidak akan dapat menebus jasa ibumu sekalipun
sekadar hembusan nafas ketika kesakitan melahirkan kamu.
Justeru, berbuat baik serta melayan kedua ibu bapa dengan nilai budi
bahasa yang sopan adalah amalan yang terpenting untuk disemat di hati.
Sebagai seorang anak kewajipan mendoakan ibu bapanya
perlu diamalkan setiap hari. Apatah lagi sekiranya kedua telah
meninggal dunia. Doa anak yang soleh akan terus-menerus sampai kepada
ibu bapanya yang berada di alam kubur. Firman Allah Taala yang
bermaksud:
"Dan hendaklah
engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih
sayangmu dan doakanlah (untuk mereka dengan berkata) : 'Wahai Tuhan
kami! Cucuri rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka mencurahkan
kasih sayang memelihara dan mendidikku semasa kecil." (Surah
al-Isra' ayat : 24)
Pengorbanan ibu dan bapa yang tidak terkira nilainya dan amat tidak
wajar dipandang remeh atau ringan oleh anak-anak. Apabila keduanya
menghampiri daerah usia yang lanjut, bermusyarawarahlah sesama
adik-beradik untuk saling berbakti selagi usia ibu bapa kita belum
terhenti.
Para isteri perlu menyedari hakikat kewajipan suami terhadap orang
tuanya dengan merelakan suami menunaikan tugasnya terhadap kedua ibu
bapanya dengan sempurna sekalipun memerlukan masa, wang dan pengorbanan
lain. Menghalang suami dari berbakti kepada kedua ibu bapanya di hari
tua adalah satu pilihan yang kejam.
Mengambil hak seorang ibunya yang benar-benar mengharapkan adanya
anak yang akan mengingati jasa dan pengorbanan silam dengan menjaganya
saat-saat tidak berkeupayaan adalah satu sifat yang tidak
berperikemanusiaan. Alangkah baiknya sekiranya masih ada isteri akan
mengingatkan suami akan kewajipan menjaga orang tuanya.
Kita perlu
mengambil iktibar dari apa yang berlaku pada Alqamah, seorang pemuda
yang hidup pada zaman Rasulullah SAW. Dia tidak dapat mengucap kalimah
syahadah lantaran sikapnya yang mengutamakan isteri daripada ibunya.
Sedangkan Alqamah merupakan seorang yang taat kepada perintah Allah,
rajin menunaikan solat, suka bersedekah dan sering berpuasa.
Lantas, Rasululllah SAW memanggil ibunya bagi mendapatkan keampunan,
sebaliknya ibunya menolak kerana masih berkecil hati dengan sikap
Alqamah yang mengutamakan isterinya. Akhirnya Rasulullah SAW bertindak
untuk membakar Alqamah hidup-hidup di hadapan ibunya jika ibunya tidak
memaafkannya.
Akhirnya tindakan Rasulullah SAW itu menyebabkan ibunya segera
memaafkannya dan seterusnya Alqamah dengan mudah mengucapkan dua kalimah
syahadah.
Sebaik sahaja Alqamah dikebumikan, Rasulullah SAW berdiri di kuburnya
lalu bersabda bermaksud: "Wahai kaum Muhajirin dan Ansar!
Sesiapa yang lebih mengutamakan isterinya daripada ibunya, nescaya akan
ditimpa kepadanya laknat Allah dan juga tidak akan diterima daripadanya
taubat dan tebusannya."(Hadis riwayat Abu al-Laith)
Para isteri perlu lebih memahami hak-hak ibu ke atas anaknya yang
diberi keutamaan dalam Islam. Lantaran, anak-anak kita juga akan
bertindak dengan apa yang pernah kita perlakukan terhadap ibu bapa
kerana kesaksamaan Allah yang maha adil. Justeru, isteri harus bersikap
reda dengan ruang-ruang yang perlu dipenuhi oleh suami terhadap ibu
bapanya.
Kehadiran anak adalah sesuatu yang berharga di hari tua. Nabi Ibrahim
meluahkan kesyukuran kepada Allah kerana diberi anak yang bakal
menemani di hari tua sebagaimana firman Allah Taala yang bermaksud:
Segala puji bagi
Allah yang telah menganugerahkan kepadaku di hari tua (ku) Ismail dan
Ishaq. Sesungguhnya Tuhanku, benar-benar Maha Mendengar (memperkenankan)
doa. (Surah Ibrahim, ayat 39)